بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful
l
Kes 1: Pasangan berusia 20-an
Nasi lemak buah bidara,
Daun selasih hamba lurutkan,
Buang emak,buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Disatukan atas nama cinta dan suka sama suka tapi tanpa restu dari keluarga pada mulanya kerana usia masih belasan. Membawa diri merantau di negeri orang. Si suami bekerja sebagai pekerja kilang dan isteri sebagai suri rumah.Hidup cukup-cukup sahaja. Anak-anak masih kecil dan semakin bertambah. Bagaimana mahu dibahagikan gaji bulanan yang tidak seberapa untuk sewa rumah,belanja dapur,minyak kenderaan dan barang-barang anak yang semakin membesar?
Kes 2: Pasangan berusia 30-an
Membeli nanas di Kuala Sepetang,
Diam menahan ikan tenggiri,
Ku harap panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.
Disatukan atas nama cinta dan suka sama suka malah direstui oleh keluarga. Merantau jauh dan akhirnya pulang ke kampung halaman. Hiduplah mereka sekeluarga dengan air telaga menjadi sumber air dan hanya lampu minyak tanah yang menerangi kegelapan di malam hari. Si suami akhirnya pergi mencari kerja setelah di desak pelbagai pihak yang mengetahui sikapnya yang bagai menunggu buah yang gugur. Perginya tanpa berita dan tiada yang tinggal untuk keluarganya menjalani hidup sehari-hari. Anak-anak tidak mahu ke sekolah kerana tiada wang belanja. Apa lagi daya si isteri setelah ditinggalkan suami begitu. Terpaksalah dia mengendong anak kecil di tengah batas padi di bawah terik mentari malah menoreh getah tua yang hampir ditebang yang sudah tentu menjanjikan hasil yang tidak seberapa. Adakah selamanya begini dan hanya mengharapkan simpati pada yang memandang?
Kes 3: Pasangan berusia 40-an.
Duduk bersantai di anjung rumah,
Terkenang rupa bunga rafflesia,
Sedangkan pantai boleh berubah,
Inikan pula hati manusia.
Disatukan atas nama cinta dan suka sama suka malah direstui oleh keluarga juga. Impian yang dicipta rupanya hanya angan yang tidak kesampaian. Nakhoda bahtera impian yang diharapkan dapat membawa isinya meredah lautan bergelora ini mabuk dalam pelayaran. Mabuk laut atau mabuk yang sengaja dicipta. Kadangkala mengundang gundah di hati kelasi kapal yang melihat. Mampukah selamat sampai ke destinasi? Mana hilang nakhoda harapan? Diam kelasi tidak semestinya setuju mungkin terlalu banyak luka di hati. Lalu siapa menjadi mangsa?Bagaimana mungkin juga kayu yang bengkok akan menghasilkan bayang yang lurus?
Bicara kata tanpa suara: Aku bukan menyalahkan sesiapa atau mempersoalkan takdir dan bukan juga mengatakan cintalah punca segalanya. Sekadar berkongsi cerita dari hati.
Petikan dari Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha karya Taufiqurrahman al-Azizy:
Cinta itu fitrah dan lumrah alam, ia berasal dari Allah S.W.T dan sesungguhnya semua yang berasal daripada Allah adalah suci. Tetapi suci atau tidak cinta itu bergantung ia ditawan nafsu atau tidak. Cinta tidak memiliki mata tetapi bisa menyebabkan mata dan hati menjadi buta kerananya.
Adikku sayang,
Kamu bermain cinta ya?
Sudah kau putuskan tujuannya?
Suka-suka atau sampai ke syurga?
Ini ketukan buat diriku dan juga kamu,
Ingat ya, jangan fikir dengan hanya bermodalkan cinta pada manusia yang kamu katakan pengarang jantung itu boleh membuatkan kamu bahagia. Masih terlalu banyak yang perlu difikirkan. Yakinkah kamu si dia yang kamu panggil sayang itu dapat memimpin kamu ke syurga sana? Atas dasar apa keyakinanmu itu? Agamanya? Ilmunya? Atau sekadar manis bicara sahaja? Kuatkah kamu andai kata suatu hari nanti nasib kamu juga sama seperti mereka?
Adikku sayang,
Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Ya, memang indah di pantai sana tapi tegarkah kamu andai tsunami menjengah lagi?
Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Ya,memang banyak habuan yang lumayan di laut dalam tapi kuatkah kamu bila disapa habuan yang boleh sahaja mematahkan kail kayu kamu itu?
Pesanan seorang sahabat:
Ingatlah, bahawa setiap perancangan Allah pada kita itu adalah sebaik-baik perancangan, kerana perancangan Allah itu jauh lebih baik dari perancangan hamba-hamba-Nya.Berilah cintamu hanya pada Allah, nescaya Dia akan ketemukan cintamu pada pemilik yang terbaik.
2 Bisik-bisik Buzz:
time kasih atas tarbiyah ini..
thanxx..=)
salam mahabbah,
~LavenderPelangi:Inilah tarbiyah dari kehidupan.
~mungkin senang bibir mengucapkan sabar tapi hati yang menderita.
~semoga Allah berikan kita kekuatan andai satu saat nanti badai menyapa.
Post a Comment