CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »
Showing posts with label Kata. Show all posts
Showing posts with label Kata. Show all posts

Monday, October 26, 2009

[ Hati Aku dan Kamu ]


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful


Ada hati yang hidup.

Ada hati yang sihat.

Ada hati yang sakit.

Ada hati yang terluka.

Ada hati yang perlu dibersihkan.

Ada hati yang perlu dirawat.

Ada hati yang perlu diubati.

Ada hati yang perlu dijaga.

Hati-hati menjaga hati.

Ya,Allah.

Pencipta dan pemilik hati.

Peganglah hatiku dan jangan biarkan aku berpaling dariMu.



Current mode: *ziarahi hatiku maka kamu akan mengerti*

Thursday, September 24, 2009

[ Pesanan Buat Hati ]

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful






Ku tanyakan pada hati.

Rindu itu untuk siapa?

Ku soalkan pada hati.

Kasih itu buat siapa?

Ku ajukan pada hati.

Sayang itu pada siapa?

Duhai hati-hati yang merindu.

Dengarlah bisikan hati ku.

Andainya rindu,kasih dan sayang itu disandarkan pada Dia.

Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Maka berbahagialah kamu.

Pasti damai yang dicari akan kamu temui.

Walau bukan di dunia ini.

Pasti di daerah abadi nanti.

Tersenyumlah.

Walau insan lain kehairanan memandang kamu.

Biarkanlah.

Hanya hati yang dipenuhi cinta padaNya.

Dapat merasai kemanisan iman yang diimpi.


Current mode:*hujan,kau ingatkan aku tentang satu rindu*

Wednesday, September 23, 2009

[ Menata Hati ]


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful

Aku sendiri tidak tahu mengapa.

Melihat kamu saja aku tidak mahu.

Apa lagi berbicara,mendengar suara atau berhubung denganmu.

Sukar untuk aku jelaskan segala rasa di hati kecil ini.

Sebu.

Aku tahu kamu tidak punya salah.

Tapi,

Hati kecil ini seakan menolak semuanya tentang kamu.

Apa lagi perlu aku lakukan?

Puas aku menata.

Meneroka segenap ceruk hati.

Mungkinkah ada bahagian yang terluka?

Rasanya itu bukan penyebab utama.

Ya Allah,bantulah hambaMu ini.

Bersihkanlah hatiku.

Luruskanlah hatiku.

Ikhlaskan hatiku.

Andainya itu juga tidak menjadi.

Ya Allah,aku pinta ditukarkan hati yang baru.


Current mode:*kembali menata hati*

Thursday, September 17, 2009

[ Pintaku Pada Hati ]




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful


Kadang-kadang tak semua perkara menjadi seperti apa yang kita harapkan.

Adakalanya menjadi jauh lebih baik malah ada juga tidak mencapai tahap yang dibayangkan.

Kita selalu mengharapkan mentari bersinar sepanjang hari tapi Allah lebih tahu hakikat hujan perlu diturunkan.

Kadang-kadang tak semua kata-kata baik yang dihulurkan pada kita.

Adakalanya kata-kata yang berbaur pahit dan pedas juga dilemparkan.

Sama ada suka atau tidak.

Pahit,masam atau kelat sekalipun kita terpaksa telan.

Ya.Aku sendiri akui.


Terkadang hati seakan sebu.

Pedih hati terguris ditahan.


Manik jernih berguguran.

Tapi itulah pengajaran hidup yang Allah titipkan.

Tika diam sejenak saat bersidang di Mahkamah Hati.

Aku sedar.

Yang pahit tak semestinya racun.

Dan yang manis tak semestinya penawar.

Dalam hidup yang pelbagai rasa ini.

Kadangkala yang pahit itulah penawar yang dicari.

Malah yang manis itu mungkin saja racun yang cuba dijauhi.

Duhai hati,

Berbaik sangkalah kamu pada semua.


Sukar?

Mungkin juga.


Tapi pintaku pada kamu

Cubalah selagi terdaya.

Jangan pernah cuba untuk berhenti.





Current mode: *Alhamdulillah.Syukur. KasihMu yang tiada penghujung.*

Wednesday, September 2, 2009

[ Siri Mengetuk Diri ]




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful



Ini bukan keluhan,

Apatah lagi merungut dengan jalan yang Allah tentukan,

Ini adalah ‘Siri Mengetuk Diri ’,

Supaya aku bangun kembali,

Mungkin kadang terbuai dengan arus dunia,

Hingga aku lupa hakikat yang kita akan kembali ke daerah abadi,

Aku tidak mahu terus hanyut,

Aku tidak mahu menjadi hambaNya yang biasa-biasa,

Aku mahu menjadi yang lebih baik daripada itu,

Kerana terlalu banyak nikmat yang Allah berikan padaku,

Terlalu banyak pertolonganNya padaku,

Aku mahu menjadi orang beriman yang dia melihat dosa ibarat gunung yang hendak menghempap dirinya,

Aku tidak mahu menjadi orang tidak beriman yang dia melihat dosa ibarat lalat yang hinggap pada hidung, dia menguis dan lalat itu lari,

Ini cara aku mengingatkan diri,

Dan pasti kamu juga punya cara sendiri,

Jalan cerita hidup kita mungkin berbeza,

Tapi kita akan kembali pada pencipta yang sama.


Current mode:*aku impikan mentari bersinar sepanjang hari tapi Allah lebih tahu hakikat hujan diturunkan*

.:.Tulus ku mohon..Maaf,aku bukan insan sempurna.:.

Tuesday, September 1, 2009

[ Pergi Jauh ]




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful



Kamu pernah rasa marah pada diri sendiri?

Tidak?

Pasti kamu tidak akan faham apa yang aku rasa.

Aku MARAH pada diri sendiri.

Kenapa?

Kerana aku tidak menjadi seperti apa yang aku inginkan.

Aku selalu lalai dengan perintahNya.

Aku kata mahu berubah menjadi hamba yang diredaiNya.

Tapi apa yang aku buat?

Amalan tak seberapa sedangkan masih ada yang lompang sana sini.

Ini yang dikatakan mahu menggapai syurga?

Tidak.

Jangan mimpi jika masih begini!

Pergi kamu.

Jangan hanya menangis!

Sudah.

Baik hentikan.

Aku penat.

Buka mata.

Buka hati.

Sedarlah diri.


Current mood: *manis+masam+masin+pedas+pahit = 1*

.:.Suhu dan tekanan masih tinggi.Maaf..:.

Monday, August 31, 2009

[ Kamu Terlupa? ]


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful


Pesanan buat kamu yang lupa :


Kamu berkata itu dan ini seperti insan yang tak punya hati.Sedarkah kamu.Apa yang disoalkan padaku adalah ciptaan Allah yang kekal.Mungkin kamu lupa.Dirimu juga insan yang tidak sempurna.


Pedih?Ya,hatiku yang kau guris ini pedih.


Namun,tiada lagi air mata yang mengalir kerana aku sudah penat dengan karenah insan-insan seperti kamu.Lupa pada cermin diri yang kaku di hadapan.Ah,mungkin kabur dek debu dosa.Aku harap tidak begitu tapi tolong jangan dekati aku.Hentikan kata-kata kamu dan pergi dari sini.


Kamu lupa ya.Aku juga insan biasa bukannya robot yang tiada rasa.Jangan ingat aku berdiam diri tandanya aku ini lemah.Jika itu sangkaan kamu ternyata kamu silap.Air yang tenang jangan disangka tiada buaya!


Ingat! Ini amaran keras buat kamu-kamu yang memandang rendah pada orang lain dan lupa akan hakikat roda kehidupan.

Current mood:*gunung berapi masih aktif.Cuba bersabar*


.:.Suhu dan tekanan tinggi.Maaf.:.

[ Harap Kamu Mengerti ]


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful


Sejujurnya aku sendiri tidak tahu bagaimana menyusun dan mengarang kata untuk menceritakan apa yang tersirat di hatiku.


Apa hanya aku yang salah mentafsirkan segalanya?
Apa ini tandanya aku masih tidak ikhlas untuk berjuang di jalanMu?
Apa ini tandanya hatiku masih terikat dengan cinta pada dunia?


.:.Ya Allah,sungguh aku tidak mengerti hatiku.:.


# 1:
Aku tahu kita teman sekerja dan harus bersikap professional. Tapi sungguh aku tidak selesa begini.Maafkan aku teman.Kamu tidak salah.Mungkin hanya aku perlu lebih memahami keadaan.Kamu penuh dengan nasihat dan idea yang membina tapi mungkin cara kita berbeza.


# 2:
Aku tahu kita ini teman malah saudara seislam. Bukan niatku untuk memutuskan silaturrahim antara kita. Cuma hatiku tidak tenang jika kita selalu berhubung.Maaf.Aku tahu kamu selalu memberi nasihat yang baik, kata-kata semangat malah mengingatkan aku pada tanggungjawab sebagai seorang muslim.Namun jauh di sudut hatiku berkata: Ada kemungkinan untuk syaitan membisikkan tipu helahnya yang licik itu!Hentikanlah.Jangan bermain dengan api andai tidak mahu terbakar diri. Maafkan aku teman.Doakan kejayaan kita.


Petikan dari Melakar Cinta Firdausi:


‘Ya Allah,ikhlaskan diriku dalam perjuangan ini. Pandulah hatiku ke jalan yang Engkau redai. Jauhkanlah aku daripada mengharapkan kepada kemasyuran,pangkat,jawatan dan pujian. Aku takut ya Allah. Aku takut kerana kotornya hatiku maka niatku juga akan kotor. Ya Allah,bersihkanlah hatiku. Hanya kepadaMu aku berserah diri,memohon petunjuk,pertolongan dan perlindungan.’

Current mood: *sungguh aku ingin menjadi seperti dia. Bijak dan lincah di medan juang namun tetap terjaga. Seindah mawar berduri malah ibarat bidadari berwajah manusia.*


.:.Tulus ku mohon..Maaf.:.

Sunday, August 9, 2009

[ Putaran Roda Kehidupan ]

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful


Hidup ini ibarat roda. Kadangkala di atas dan adakalanya di bawah. Ujian terus mendatang dan arus kehidupan semakin laju. Dan saat ini hatiku berlagu sayu. Usah ditanya sebabnya kerana aku sendiri sukar untuk menyusun kata.

Duhai hati yang masih berbisik,

Berbicaralah denganku selalu. Kuatkan semangatku saat hampir tewas dengan tarikan medan negative itu. Usah difikirkan pada yang memandang kerana pandangan Allah lebih utama. Betulkan niatmu.

Aku perlu kamu hatiku.Aku rindu kamu menyanyikan lagu cintaNya dan untuk itu aku mohon kembalilah pada penciptamu.Hilangkan kabus kelam yang menyelimuti ruangan itu. Serikanlah dengan cahaya cintaNya.

Aku mohon hatiku.Lagukanlah ayat-ayat cintaNya:

“..Aku berlindung dengan Allah dari kejahatan syaitan yang bersembunyi. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.”
Surah an-Nas(114):1-5


.:.Ya Allah,berikanlah aku kekuatan untuk terus berada di jalanMu.:.

Current mood:*mengejar pelangi *

.:.Tulus ku mohon..Maaf.:.



Wednesday, August 5, 2009

[ Ku khabarkan di angin lalu]


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful





Sejujurnya ku katakan. Terkadang ia pasti datang menjengah.Namun aku cuba juga mengusirnya untuk pergi jauh.Pergi dan jangan datang lagi! Aku mohon.

Ku katakan pada angin lalu..
Dengarlah hatiku berlagu..
Aku mohon pada kamu..
Tolong jangan tarik aku jauh dari jalan ini..
Kamu tahu..
Bukan mudah untuk ku temui jalan ini..
Setelah terjatuh dan bangun kembali..
Setelah terluka dan pedih di hati..
Dan kini ku temui..
Damainya di jalan ini..
Cara kita mungkin berbeza..
Tapi selagi aku masih berada di jalan ini..
Usah diragui..
Aku yakin masih mampu berdiri..



Pesanan buat hati: Usah takut melawan arus.Kuatkan semangat!Sedarlah,hidup ini hanya pinjaman.Yang dicinta kan pergi.Yang didamba kan hilang.Hidup kan terus berjalan meski penuh dengan tangisan.

Dari tinta di taman syurga:
Beramallah menurut keimanan masing-masing. Jika tidak dapat dilaksanakan semua janganlah ditinggalkan semuanya. Lebihan umur kita yang masih tinggal sedikit hampir sampai ke penghujungnya. Rebutlah amal sebanyak yang boleh dan bertaubatlah kepada Allah dengan segala kesungguhan untuk bekal di akhirat kerana ‘YANG PERGI TIDAK AKAN PULANG KEMBALI’.

Current mood: Aku rindu sejuknya siraman ketenangan.Aku rindu bisik yang menyentuh hati. ‘Hujan’, aku rindu kamu dan saat itu.




.:.Tulus ku mohon..Maaf.:.

Sunday, July 19, 2009

[ Permata Indah ]

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful


Tempat: Masjid **-****
Masa: Sekitar waktu Maghrib
Pemerhati dari jauh: Aku dan Seorang Teman
Subjek pemerhatian: Seorang Wanita Berhijab Putih


Setelah sampai di perkarangan rumahNya. Kami diam sebentar di dalam kereta. Tiba-tiba lalu seorang wanita berhijab putih yang menutupi seluruh tubuhnya. Aku memandang wanita itu hingga dia masuk ke dalam masjid. *tersenyum sendiri*


................................................................................................
Bicara aku dan Seorang teman:



Aku: Hmm,suka tengok orang pakai macam tue. Mesti dia rasa selamat.

Teman: Kenapa Wardah tak pakai macam tue?

Aku: Teringin.. tapi..*diam*


Teman: Tapi apa? Kan bagus pakai macam tue.

Aku: Betul. Cuma diri ini tidak selalu ‘menjaga’ malah ilmu yang ada di dada masih cetek benar. Tidak terhitung noda dan dosa agaknya. Selalu saja terleka dengan dunia. *hatiku berlagu sayu:terasa diri ini lemah,hina bersalut dosa malah terlalu kerdil di hadapanNya*

Teman: Tapi selagi kita mencuba untuk berubah tak salah kan.

Aku: Betul. Insya-Allah satu hari nanti.Semoga di permudahkan. Kita sama-sama berjuang ya.
*tersenyum*


Seruan azan telah kedengaran dan bicara kami berhenti di situ.

.................................................................................................

.:.Ya Allah,berikan kami kekuatan untuk berjuang merasai kemanisan iman dan dekat denganMu.:.

Hatiku berbisik:
Dia permata indah tapi aku butir pasir tiada warna,
Dia ibarat cahaya tapi aku kelam bernoda,
Dia bagai haruman tapi aku sekadar perhiasan biasa,
Andai dia bidadari berwajah manusia, sungguh aku ingin menjadi sepertinya.


Current mood: Rindu lagi saat itu…

Friday, July 17, 2009

[ Kata Cinta ]

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful
l

Kes 1: Pasangan berusia 20-an

Nasi lemak buah bidara,
Daun selasih hamba lurutkan,
Buang emak,buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.


Disatukan atas nama cinta dan suka sama suka tapi tanpa restu dari keluarga pada mulanya kerana usia masih belasan. Membawa diri merantau di negeri orang. Si suami bekerja sebagai pekerja kilang dan isteri sebagai suri rumah.Hidup cukup-cukup sahaja. Anak-anak masih kecil dan semakin bertambah. Bagaimana mahu dibahagikan gaji bulanan yang tidak seberapa untuk sewa rumah,belanja dapur,minyak kenderaan dan barang-barang anak yang semakin membesar?


Kes 2: Pasangan berusia 30-an

Membeli nanas di Kuala Sepetang,
Diam menahan ikan tenggiri,
Ku harap panas hingga ke petang,
Rupanya hujan di tengah hari.


Disatukan atas nama cinta dan suka sama suka malah direstui oleh keluarga. Merantau jauh dan akhirnya pulang ke kampung halaman. Hiduplah mereka sekeluarga dengan air telaga menjadi sumber air dan hanya lampu minyak tanah yang menerangi kegelapan di malam hari. Si suami akhirnya pergi mencari kerja setelah di desak pelbagai pihak yang mengetahui sikapnya yang bagai menunggu buah yang gugur. Perginya tanpa berita dan tiada yang tinggal untuk keluarganya menjalani hidup sehari-hari. Anak-anak tidak mahu ke sekolah kerana tiada wang belanja. Apa lagi daya si isteri setelah ditinggalkan suami begitu. Terpaksalah dia mengendong anak kecil di tengah batas padi di bawah terik mentari malah menoreh getah tua yang hampir ditebang yang sudah tentu menjanjikan hasil yang tidak seberapa. Adakah selamanya begini dan hanya mengharapkan simpati pada yang memandang?


Kes 3: Pasangan berusia 40-an.

Duduk bersantai di anjung rumah,
Terkenang rupa bunga rafflesia,
Sedangkan pantai boleh berubah,
Inikan pula hati manusia.


Disatukan atas nama cinta dan suka sama suka malah direstui oleh keluarga juga. Impian yang dicipta rupanya hanya angan yang tidak kesampaian. Nakhoda bahtera impian yang diharapkan dapat membawa isinya meredah lautan bergelora ini mabuk dalam pelayaran. Mabuk laut atau mabuk yang sengaja dicipta. Kadangkala mengundang gundah di hati kelasi kapal yang melihat. Mampukah selamat sampai ke destinasi? Mana hilang nakhoda harapan? Diam kelasi tidak semestinya setuju mungkin terlalu banyak luka di hati. Lalu siapa menjadi mangsa?Bagaimana mungkin juga kayu yang bengkok akan menghasilkan bayang yang lurus?


Bicara kata tanpa suara: Aku bukan menyalahkan sesiapa atau mempersoalkan takdir dan bukan juga mengatakan cintalah punca segalanya. Sekadar berkongsi cerita dari hati.


Petikan dari Kitab Cinta Yusuf & Zulaikha karya Taufiqurrahman al-Azizy:

Cinta itu fitrah dan lumrah alam, ia berasal dari Allah S.W.T dan sesungguhnya semua yang berasal daripada Allah adalah suci. Tetapi suci atau tidak cinta itu bergantung ia ditawan nafsu atau tidak. Cinta tidak memiliki mata tetapi bisa menyebabkan mata dan hati menjadi buta kerananya.


Adikku sayang,

Kamu bermain cinta ya?
Sudah kau putuskan tujuannya?
Suka-suka atau sampai ke syurga?



Ini ketukan buat diriku dan juga kamu,

Ingat ya, jangan fikir dengan hanya bermodalkan cinta pada manusia yang kamu katakan pengarang jantung itu boleh membuatkan kamu bahagia. Masih terlalu banyak yang perlu difikirkan. Yakinkah kamu si dia yang kamu panggil sayang itu dapat memimpin kamu ke syurga sana? Atas dasar apa keyakinanmu itu? Agamanya? Ilmunya? Atau sekadar manis bicara sahaja? Kuatkah kamu andai kata suatu hari nanti nasib kamu juga sama seperti mereka?

Adikku sayang,

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Ya, memang indah di pantai sana tapi tegarkah kamu andai tsunami menjengah lagi?

Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Ya,memang banyak habuan yang lumayan di laut dalam tapi kuatkah kamu bila disapa habuan yang boleh sahaja mematahkan kail kayu kamu itu?


Pesanan seorang sahabat:

Ingatlah, bahawa setiap perancangan Allah pada kita itu adalah sebaik-baik perancangan, kerana perancangan Allah itu jauh lebih baik dari perancangan hamba-hamba-Nya.Berilah cintamu hanya pada Allah, nescaya Dia akan ketemukan cintamu pada pemilik yang terbaik.

Wednesday, July 8, 2009

[ Seuntai Kata Untuk Dirasa ]

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
In the name of Allah the Most Gracious and Merciful



Andai kamu punya suara,
Berbisiklah,
Agar aku tahu kamu ada.

Andai kamu punya lagu,
Nyanyikanlah,
Agar dapat aku hayati iramanya.

Andai kamu punya cerita,
Khabarkanlah,
Agar aku mengerti kisahnya.

Andai kamu punya kasih,
Sebarkanlah,
Agar aku juga merasai kasihNya.


**********************************************************

Aku ingin berlari,
Tapi aku kaku di sini.

Aku ingin terbang,
Tapi aku masih di Bumi.

Aku ingin pergi jauh,
Tapi aku terikat lagi.

Aku ingin terus tersenyum,
Tapi ada sendu di hati.

Current mood: Aku ingin terbang ke seberang. Biarlah hanya khabar indah ku terima di sana. Manisnya rindu semakin hilang.